Riwayat Hidup Imam Syafie....:-)
Nama
sebenar Imam Syafie ialah Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman bin
Syafie Bin Saib Bin Abdu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Mutalib Bin Abdul
Manaf.
Imam Syafie adalah berasal dari keturunan arab Quraisy.Nasabnya berkait dengan Nabi Muhammad saw.
Beliau
dilahirkan di Kota Gaza Palestin pada bulan Rejab 150 Hijrah.Ada yang
mengatakan pada malam beliau dilahirkan itu Imam Abu Hanifah (Imam
Hanafi) meninggal dunia akibat diracun oleh Khalifah Abu Jaafar
al-Mansur dari Bani Abbasiyah sewaktu Imam Hanafi berada dalam
penjara.Beliau dipenjara , diseksa dan dirotan kerana tidak mahu
memberikan kerjasama kepada Khalifah Bani Abbasiyah yang zalim itu
dengan menolak tawaran untuk menjadi Hakim kerajaannya.
Imam
Syafie menghafal Al-Quran sewaktu berumur 9 tahun.Beliau menghafal
Kitab al-Muwatta’ yang ditulis oleh Imam Malik (Mazhab Maliki) selama 10
tahun.Beliau mempunyai kecerdikan dan daya ingatan yang sangat luar
biasa.Dibenarkan memberikan fatwa sendiri oleh gurunya sewaktu berusia
15 tahun sewaktu mengajar di Masjidil Haram.
Sebelum
melahirkan beliau, ibunya bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari
perutnya lalu naik ke langit.Lalu bintang itu pecah lalu jatuh
bertaburan jatuh ke bumi.Cahaya dari bintang pecah yang jatuh itu
menerangi seluruh muka bumi.Ibunya terkejut bila mengetahui suaminya
juga mengalami mimpi yang sama iaitu dia melihat ada sebutir bintang
yang keluar dari perut isterinya.
Imam
Syafie penentang amalan bidaah.Kata beliau , semua perkara yang
diadakan menyalahi Quran dan sunnah atau ijmak ulama adalah bidaah yang
keji dan sesat manakala mana-mana perkara atau kebaikan yang tidak
menyalahi sedikitpun dari kesemua itu adalah bidaah yang terpuji.
Imam
Syafie berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti juga 3
orang Imam Mazhab lain yang terkenal seperti Imam Hanafi,Imam Maliki dan
Iman Ahmad Bin Hambal (mazhab Hambali).Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah
ini dicetuskan oleh ulamak sebelu mereka iaitu Syeikh Abu Hasan Asyaari
dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.
Imam
Syafie juga melarang Taklid, baik taklid kepada dirinya sendiri ataupun
kepada sesiapa saja.Beliau selalu berpesan : “Janganlah mereka-reka
dalam perkara agama mengguna-pakai taklid sahaja kepada perkataan
ataupun tindakan yang tidak disertai dengan keterangan ataupun alasan
dari Quran dan hadis”. Beliau juga berpesan : “Tiap-tiap perkara yang
saya katakan padahal kata Rasulullah bertentangan dengan perkataan saya,
Rasulullah itulah lebih utama perlu dituruti”
Antara pujian atau pandangan ulamak-ulamak lain kepada Imam Syafie ialah :
Imam Malik bekas gurunya pernah berkata : “Tidak ada lagi keturunan Quraisy yang lebih pandai daripada Imam Syafie”
Imam
Ahmad Bin Hambal berkata : “Wahai anakku, Imam Syafie itu seperti
matahari bagi dunia dan seperti kesihatan bagi tubuh.”.Beliau juga
berkata : “Saya belum faham mengenai ilmu hadis kecuali selepas belajar
dengan Imam Syafie”.Kata Imam Ahmad lagi : “setiap ahli hadis yang
memegang tinta adalah terhutang budi kepada Imam Syafie”
Imam
Muhammad al-Hakam berkata : “Saya belum berjumpa seorang yang lebih
mengetahui, cerdik akalnya,lebih cerdas fikirannya, lebih cermat
amalannya,lebih fasih lidahnya daripada Imam Syafie”.Beliau berkata lagi
: “Saya belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui berkenaan usul
Fiqah selain dari Imam Syafie”
Menyelusuri
perjalanan hidup dan proses pembelajaran Imam Syafie amat menarik
sekali.Ayah beliau meninggal sewaktu Imam Syafie masih kecil, ada
riwayat yang mengatakan sewaktu beliau masih dalam kandungan ibunya
lagi.Gurunya yang pertama secara tidak formal ialah ibunya
sendiri.Ibunya megajar beliau mengenal huruf dan mengaji
al-Quran.Setelah berumur 9 tahun beliau sudah dapat menghafal Al-Quran.
Bila
ibunya membawa Imam Syafie untuk berguru dengan Imam Ismail Kustantani,
seorang guru ilmu Al-Quran yang terkenal waktu itu, Imam Ismail pada
mulanya menolak kerana Imam Syafie baru berusia 9 tahun sedangkan dia
hanya menerima orang menjadi muridnya setelah berumur 12 tahun.Namun
setelah dia menguji hafalan dan ingatan Imam Syafie tentang Al-Quraan,
beliau amat tertarik dengan daya ingatan dan suara Imam Syafie yang
merdu lalu terus mengambil Imam Syafie menjadi muridnya.Apabila Imam
Ismail ada urusan lain , Imam Syafie pula disuruh menggantikan tempatnya
mengajar disitu!
Imam
Syafie juga amat meminati syair dan puisi, beliau pernah berguru dengan
Mas’ab bin Zubair seorang penyair terkenal.Dalam masa 3 bulan saja, Imam
syafie mampu menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail.Pernah
suatu kali Imam Syafie memasuki pertandingan syair atas desakan
kawan-kawannya, lalu mengalahkan gurunya Mas'ab pula.
Imam
Syafie berguru pula dengan Imam Sufian Ainiah dalam ilmu hadis sehingga
menjadi pakar dalam bidang hadis dan diberi kepercayaan oleh gurunya
untuk mengajar menggantikannya sewaktu ketiadaannya.
Selepas
itu Imam Syafie berguru pula dengan Imam Muslim al-Zanji dalam bidang
Feqah pula.Akhirnya dia diakui oleh gurunya dan dibenarkan mengajar
serta memberikan fatwa pula.Namun Imam Syafie masih merasakan kurang
ilmunya lalu dalam diam beliau mula membaca dan menghafal Kitab Muwatta’
yang dikarang oleh Imam Malik bin Anas pula.
Imam
Syafie juga pernah belajar ilmu peperangan dan bermain senjata dengan
gurunya iaitu Amiruddin, seorang bekas tentera.Selepas itu Imam Syafie
terkenal sebagai seorang pemanah yang handal.
Imam
Syafie pernah mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama 8 hari
dengan menaiki unta sambil sempat mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 16
kali untuk menemui dan berguru dengan Imam Malik yang ketika itu
menjawat jawatan Mufti Kota Madinah.Imam Syafie belajar dari Imam Malik
selama 8 bulan.
Selepas itu
Imam Syafie merantau pula ke Iraq untuk belajar dengan anak murid Imam
Hanafi iaitu Imam Muhamad al-Hassan dan Imam Abu Yusof.Beliau telah
menghafal Kitab al-Awsat karangan Imam Hanafi dalam masa 3 hari saja
telah mengejutkan kedua orang gurunya itu kerana biasanya murid-murid
mereka yang lain mengambil masa paling kurang 1 tahun untuk
menghafalnya.
Imam Syafie
juga belajar ilmu firasat dengan Maulana Arif di Yaman.Di Yaman beliau
berkahwin dengan wanita bernama Hamidah dari keturunan Khalifah Uthman
Bin Affan.Mereka dikurniakan 3 orang anak.
Semasa
di Najran, Imam Syafie difitnah oleh Gabenor as-Saud iaitu Gabenor
Najran kononnya Imam Syafie sedang menghasut rakyat untuk memusuhi dan
menjatuhi kerajaan Bani Abbasiyah yang diperintah oleh Khalifah Harun
ar-Rashid. Akibat dari fitnah tersebut Imam Syafie dan anak muridnya
telah ditangkap, tangan dan kaki mereka dirantai .Mereka juga dipaksa
berjalan kaki dari Najran ke Kota Kufah.
Walau
bagaimanapun dengan izin Allah swt Imam Syafie terlepas dari hukuman
oleh Khalifah dan orang yang memfitnah mendapat hukuman yang
setimpal.Diantara ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Imam Syafie, yang
membuatkan hati dan jiwa raga Khalifah Harun ar-Rashid terpesona ialah
Firman Allah swt dari Surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud : “ Hai
orang yang beriman, sekiranya datang kepadamu orang fasiq yang membawa
suatu berita,periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu
musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan
kamu menyesal atas perbuatanmu itu”
Itulah
diantara liku-liku perjalanan yang ditempuh oleh Imam Syafie dalam
menuntut ilmu.Banyak lagi guru dan tempat beliau belajar yang tidak
dinyatakan disini. Beliau sangat menyintai ilmu.Pernah suatu masa Imam
Malik memuji beliau dengan berkata : “Sekiranya ada orang yang bahagia
kerana ilmunya, inilah orangnya!” sambil merujuk kepada Imam
Syafie.Berkaitan dengan kegunaan ilmu pula Imam Syafie pernah berkata :
“Sesiapa yang mempelajari Quran, besar harga dirinya.Siapa yang
mempelajari hadis, tinggi martabatnya.Siapa yang mempelajari
bahasa,lembut hatinya.Siapa yang mempelajari ilmu hisab, tajam
pandangannya dan siapa yang tidak memelihara dirinya, tidak bererti
ilmunya”. Oleh kerana kecintaan beliau yang begitu mendalam terhadap
ilmu ,jadi tidak hairanlah jika Imam Syafie telah menulis 142 buah kitab
semasa hayatnya.
Imam
Syafie meninggal dunia selepas waktu isyak, malam jumaat 28 Rejab tahun
204 Hijrah ( tahun 820 M) di rumah Abdullah bin Hakam sewaktu berumur 54
tahun di bumi Mesir. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Bani
Zaharah.
Semasa Abu Ali
al-Hasan menjadi perdana menteri Iraq, beliau telah mengarahkan ketua
tentera Mesir Badr bin Abdullah menggali dan memindahkan kubur Imam
Syafie ke Baghdad.Setelah digali mereka menemui batu bata yang tersusun
membentengi liang lahad Imam Syafie.Selepas mereka memecahkan batu-bata
itu, mereka amat terkejut kerana tercium bau yang sangat harum dari
dalam liang lahad itu malah ada beberapa orang dari mereka yang
pengsan.Bila perkara ini diketahui oleh perdana menteri Iraq itu, maka
beliau pun membatalkan terus usaha memindahkan kubur itu.Pada tahun 608
Hijrah, sebuah Kubah telah dibina .Tidak lama kemudian sebuah masjid
didirikan disitu dengan nama Masjid Imam Syafie.Makam Ulama hebat ini
terus dikunjungi orang ramai hingga kini.
Kata-kata Menarik Imam As Syafie
1.Tuntutlah
ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu
cemerlang di dunia dan akhirat.Ia juga amalan para Nabi, Rasul dan orang
soleh.
2.Marah adalah
salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun.Oleh itu
hindari ia supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.
3.Hati
adalah Raja dalam diri.Oleh itu, lurus dan betulkan ia supaya empayar
kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh
iringan-iringan pasukan kebathilan.
[Sumber : Imam Syafie Pejuang Kebenaran; ditulis oleh Abdul latip Talib ]
10 Wasiat Imam As Syafie
1.
Hak kepada diri, iaitu dengan mengurangkan tidur, mengurangkan makan,
mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
2.
Hak kepada Malaikat maut, iaitu menqada’kan segala kewajipan yang
tertinggal, iaitu dengan memohon maaf daripada orang yang dizalimi,
membuat persiapan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah s.w.t.
3.
Hak kepada kubur iaitu membuang tabiat suka menabur fitnah, jangan suka
kencing merata, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu orang yang
dizalimi.
4. Hak kepada
Malaikat Mungkar dan Nakir, iaitu jangan berkata dusta, sering berkata
benar, meninggalkan maksiat dan memberi nasihat.
5. Hak kepada Mizan, iaitu menahan kemarahan, banyakkan berzikir, ikhlas dalam amalan dan sanggup menanggung kesulitan.
6. Hak kepada titian sirat, iaitu buang tabiat suka mengumpat, wara’, bantu orang beriman dan hidup dalam suasana berjamaah.
7.
Hak kepada Malaikat Malik, iaitu menangis lantaran takutkan kepada
Allah s.w.t., membanyakkan sedekah, membuat kebaikan kepada ibubapa dan
memperbaiki akhlak.
8. Hak kepada Malaikat Ridwan, penjaga syurga, iaitu redha kepada qada’ Allah s.w.t., sabar menerima bala’ dan bertaubat.
9.
Hak kepada Rasulullah s.a.w., iaitu dengan sering bersalawat kepada
baginda, berpegang kepada sunnahnya dan bersaing mencari kelebihan dalam
beribadah.
10. Hak kepada
Allah, iaitu mengajak manusia kepada kebaikan, mencegah manusia daripada
melakukan kemungkaran, bencikan kepada sebarang maksiat dan tidak
melakukan kejahatan.
No comments:
Post a Comment